TUNKU Ismail sahkan akan menandatangani empat lagi pemain iaitu seorang penyerang import dan tiga pemain tempatan. FOTO Bernama
TUNKU Ismail sahkan akan menandatangani empat lagi pemain iaitu seorang penyerang import dan tiga pemain tempatan. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal membawa masuk tiga pemain tempatan dan seorang import bagi memperkuatkan pasukan itu mengharungi kempen Liga Super serta saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim depan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan perkara itu selepas memperkenalkan pemain baharu JDT, Daniel Amier Norhisham, 23, yang mengikat kontrak selama dua tahun bersama juara tujuh kali Liga Super.

Katanya, JDT dalam proses akhir bagi melengkapkan perpindahan ini sebelum memperkenalkan kesemua pemain baharu berkenaan dalam masa terdekat.

"Selepas ini, JDT akan menandatangani empat lagi pemain iaitu seorang penyerang import dan tiga pemain tempatan.

"Proses melengkapkan perpindahan pemain ini sudah mencapai tahap 95 peratus, cuma ada beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan," katanya pada sidang akhbar selepas memperkenalkan pemain baharu JDT di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT, Gelang Patah hari ini.

Daniel Amier yang menyertai JDT daripada FELDA United akan menyarung jersi bernombor 16.

Tunku Ismail berkata, pada hari ini juga JDT menandatangani bakat muda dari Indonesia yang akan dilaporkan oleh media asing di negara jiran itu.

"Bila kita beli pemain, mereka bukan hanya nampak di sini, mereka berada di merata-rata. Contohnya Endrick dos Santos yang sudah beraksi selama dua tahun di Pulau Pinang adalah pemain kami malah kami ada pemain yang beraksi di luar negara.

"Siapa sahaja kita tandatangani di JDT, satunya untuk kejayaan masa pendek atau pelan jangka panjang. Bintang muda seperti Danial Amier yang akan mengetuai JDT pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 7:42 PM