DANIAL Amier ( tengah) menerima jersi daripada Tunku Ismail sebagai simbolik penyertaan pemain itu bersama JDT sambil diperhatikan oleh Mora  (kanan). FOTO RIZAR MOHD NOOR
DANIAL Amier ( tengah) menerima jersi daripada Tunku Ismail sebagai simbolik penyertaan pemain itu bersama JDT sambil diperhatikan oleh Mora (kanan). FOTO RIZAR MOHD NOOR
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Bekas pemain FELDA United, Danial Amier Norhisham secara rasmi menjadi 'keluarga' baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengikat kontrak selama dua tahun dan akan menguatkan posisi tengah.

Malah dia yang berusia 23 tahun adalah projek jangkamasa panjang skuad memenangi Liga Super tujuh musim berturut-turut.

Danial Amier mengakui terkejut apabila pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada awal musim ini, namun di atas beberapa faktor maka penghijrahan hanya dapat dilaksanakan untuk beraksi pada musim depan.

"Perasaan saya sendiri amat terkejut apabila mendapat tahu Baginda berminat untuk saya menyertai JDT. Ia satu pengiktirafan dari TMJ sendiri dan bukan satu yang mudah dan sekali gus beri motivasi buat saya meningkatkan lagi tahap permainan.

"Menyertai JDT dan perlu bekerja keras untuk berada dalam skuad utama bukanlah tugas mudah kerana kita tahu di posisi tengah, pasukan itu dibarisi pemain yang hebat dan saya perlu keluar daripada zon selesa dan mencabar diri sendiri bukan sahaja mampu meningkat kualiti permainan tapi berazam berada dalam skuad utama.

"Sebelum saya ke JDT, rakan-rakan seperti Safawai (Rasid), Akhyar (Rashid) dan Syamer (Kutty Abba) memberi maklumat yang terperinci mengenai pasukan itu dan ia menguatkan lagi keinginan saya menyertai JDT bagi meneruskan karier sebagai pemain profesional," katanya.

Ditanya sama ada bersedia untuk berdepan ketegasan Tunku Ismail tatkala di dalam atau di luar padang, Danial Amier menyifatkan sebagai pemain dan Tunku Ismail pemilik JDT semestinya perlu menghormati majikan dan bersedia memberi persembahan terbaik ketika latihan dan perlawanan liga nanti.

"Baginda sudah melabur wang ringgit dan menghabiskan masa bersama JDT dan sudah tentu Baginda mahukan pulangan yang terbaik dan saya sebagai pemain harus bersedia dan menyahut apa jua cabaran jika turun beraksi nanti," kata Danial Amier.

Dalam pada itu, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, menganggap kehadiran Danial Amier memberi impak positif dalam skuad itu tatkala pemain itu memiliki berkualiti dan tidak berdepan masalah mengadaptasi falsafah corak permainan pasukan itu.

"Danial Amier memiliki pengalaman bukan sahaja beraksi bersama FELDA United malah dia turut membantu skuad Bawah 23 tahun kebangsaan apabila meraih pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Dia akan diberi peluang beraksi kerana saingan musim depan tampak lebih banyak perlawanan dan pastinya akan ada penggiliran pemain. Bukan sahaja dia akan beraksi malah semua pemain dalam JDT akan tersenarai dalam kesebelasan utama," kata Mora

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 6:45 PM