BENZEMA terus menjadi nadi penting buat Real. FOTO AFP
BENZEMA terus menjadi nadi penting buat Real. FOTO AFP
AFP

Madrid: Karim Benzema boleh digambarkan sangat luar biasa selepas menjaringkan gol pembukaan dan terbabit dalam dua lagi jaringan ketika Real Madrid mencatat kemenangan 3-1 ke atas Eibar sekali gus memadamkan jurang satu mata dengan pendahulu liga, Atletico Madrid.

Benzema dan Luka Modric menjaringkan gol pada 13 minit pertama di Basque Country untuk membantu pasukan bimbingan Zinedine Zidane itu mencatat kemenangan liga keempat berturut-turut, sebelum Lucas Vazquez meledak gol ketiga di lewat permainan.

Gol saguhati Eibar disumbangkan Garcia Kike pada minit ke-28.

"Dia adalah penentu kemenangan. Apa yang dilakukannya sangat luar biasa. Bukan saja dari segi jaringan. Saya ulangi sekali lagi mengenai Karim, dia bukan saja menjaringkan gol tapi jelas melancarkan corak permainan kami, itu paling penting.

"Apabila dia dapat menjaringkan gol ia memang lebih baik tapi selain itu dia juga sangat penting buat kami," kata Zidane.

Real berada di belakang Atletico dengan hanya perbezaan jaringan namun mempunyai rekod pertemuan lebih baik iaitu penentu jika kedua-dua pasukan mengutip mata sama sehingga penghujung musim.

Pasukan bimbingan Diego Simeone itu masih mempunyai dua baki perlawanan, selepas mereka mencatat kemenangan 3-1 ke atas Elche.

Pasukan di tempat kelima, Barcelona dipisahkan lapan mata dengan kedua-dua pasukan daripada Madrid itu selepas hanya mencatat keputusan seri 2-2 bertemu Valencia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 10:09 AM