LEAO (kanan) meraikan jaringan pembukaan Milan dan mencipta sejarah gol terpantas Serie A iaitu enam saat selepas sepak mula. FOTO Agensi
LEAO (kanan) meraikan jaringan pembukaan Milan dan mencipta sejarah gol terpantas Serie A iaitu enam saat selepas sepak mula. FOTO Agensi
AFP

Milan: Penyerang AC Milan, Rafael Leao menjaringkan gol terpantas dalam sejarah Serie A, apabila mengambil masa enam saat, ketika mengalahkan Sassuolo 2-1 bagi membolehkan pasukannya kekal di tangga teratas mengatasi seteru tetangga Inter Milan.

Milan, yang memburu kejuaraan Serie A pertama sejak 2011, terus melancarkan serangan selepas sepak mula dan pemain tengah, Hakan Calhanoglu melakukan hantaran kepada Leao sebelum disudahkan dengan mudah.

Gol terpantas sebelum ini dalam saingan tertinggi Itali itu ialah lapan saat melalui Paolo Poggi dari Piacenza ketika berdepan Fiorentina pada Disember 2001,

Milan mempunyai kelebihan satu mata ke atas pasukan bimbingan Antonio Conte, yang mengalahkan Spezia 2-1, manakala penyandang juara empat mata di belakang pendahulu liga untuk menduduki tangga ketika selepas menumpaskan Parma 4-0 semalam.

"Kami mempunyai empat atau lima jenis sepak mula. Leao sebenarnya sudah bersedia. Memenangi perlawanan ini memberi kesan dari psikologi," kata jurulatih Milan, Stefano Pioli.

Pemain kelahiran Portugal itu yang selalunya beraksi di sebelah sayap kanan, memulakan peranan sebagai penyerang tengah tatkala Zlatan Ibrahimovic masih lagi dibelenggu dengan masalah kecederaan dan penggantinya, Ante Rebic juga mengalami perkara sama.

Ia adalah gol ketiga buat pemain berusia 21 tahun itu musim ini dan yang keempat daripada semua kejohanan.

"Kami sudah mempersiapkan diri dalam latihan. Perlawanan ini sangat penting buat kami kerana melepaskan mata penting dalam beberapa perlawanan sebelum ini," kata Leao.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 8:02 AM