TUNGGAKAN gaji Ivan Carlos (kiri) selesai. FOTO Bernama
TUNGGAKAN gaji Ivan Carlos (kiri) selesai. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Isu tunggakan gaji pemain import Pahang, Ivan Carlos dianggap sudah selesai oleh pengurusan skuad Tok Gajah.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kelewatan pembayaran gaji kepada Carlos bukan disengajakan tetapi ia kerana proses yang membabitkan bank di luar negara.

"Saya menafikan kalau dakwaan kata tak bayar gaji, kalau betul tentu akan ramai lagi pemain bangkit kata tak bayar gaji.

"Isunya ketika itu dia pulang ke negara asal (Brazil), dan memohon supaya gajinya di bayar ke akaun negara luar. Jadi, ia ambil proses yang agak lewat sikitlah.

"Proses nak buat kena kelulusan dan sebagainya, nanti karang akan dipantau oleh Bank Negara dan sebagainya, susah jugakan.

"Jadi atas kelewatan itu sikit, dia bangkitkan isu berkenaan dan kita dah selesaikan perkara itu dan tak ada perkara berbangkit lagi," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Kali Ke-4 yang berlangsung di Putrajaya, Rabu lalu.

Sebelum ini, pemain import Pahang itu menuntut 'hutang' daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan mengharapkan persatuan itu dapat menunaikan komitmen seperti yang sudah dipersetujui.

Tuntutan itu dibuat menerusi akaun Instagram milik pemain berusia 30 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 6:46 PM