PRESIDEN MFL, Datuk Hamidin. FOTO NSTP
PRESIDEN MFL, Datuk Hamidin. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengingatkan semua pasukan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan Covid-19 bagi mengelak kluster bola sepak berlaku.

Peringatan itu disampaikan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin kepada semua pasukan termasuk penyokong untuk mengikut SOP yang akan ditetapkan nanti.

Malah, ia sekali gus untuk menjaga sebaik mungkin kebenaran yang mungkin akan diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada penyokong untuk memasuki stadium pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

"Saya tegaskan kepada pasukan untuk menjaga SOP, saya lihat dari awal Liga-M dan Piala Malaysia (musim ini) ini mereka menjaga (SOP) kerana saya sering ingatkan dan setakat ini semua mematuhi," katanya.

Kelmarin, pada sidang media Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Kali Ke-4 yang berlangsung di Putrajaya menyaksikan Hamidin membayangkan peluang cerah untuk penyokong kembali hadir ke stadium selepas hampir setahun tidak dibenarkan oleh MKN ekoran pandemik Covid-19.

Begitupun, hasil perbincangan berterusan antara MFL, MKN, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kemungkinan kemasukan 10 peratus dari kapisiti stadium dibenarkan pada musim depan.

Ujar Hamidin lagi, 'keluarga bola sepak' negara sudah bersedia untuk mengamalkan dan 'hidup' dalam norma baharu khususnya berkaitan bola sepak.

"Kita selalu sebut norma baharu, jadi bola sepak juga dah sedia masuk norma baharu. Disamping saya ingatkan pasukan SOP kena buat, kalau jadi kluster nanti lagi bermasalah.

"Jadi Insya-Allah semuanya berjalan lancar, dan mereka nampak akan keseriusan kita (MKN nampak usaha MFL patuhi SOP)," katanya yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 1:56 PM