BENZEMA dilihat semakin matang dan sentiasa membantu pasukan. FOTO AFP
BENZEMA dilihat semakin matang dan sentiasa membantu pasukan. FOTO AFP
AFP

Madrid: Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane memuji Karim Benzema sebagai penyerang tengah terbaik yang pernah dilahirkan Perancis selepas dua gol pemain itu berjaya membenam Athletic Bilbao seterusnya menyertai kedudukan teratas La Liga.

Sebaik pemain Bilbao, Ander Capa memadamkan gol pendahuluan Toni Kroos, Benzema, 32 meledak dua jaringan dengan menanduk masuk hantaran 16 minit sebelum tamat dan menyempurnakan umpanan Luka Modric pada masa tambahan.

Selepas itu Zidane tidak teragak-agak menyatakan Benzema sebagai penyerang tengah terbaik Perancis, sebaris Thierry Henry, Kylian Mbappe, Jean-Pierre Papin dan Just Fontaine.

"Bagi saya, dia sangat terbaik, ia sangat jelas. Dia sudah membuktikan dengan sudah lama beraksi bersama Real Madrid. Dia sudah beraksi lebih 500 kali, setiap jaringan, rekod berjaya dibuktikannya," kata Zidane, pemain tengah legenda Perancis yang memenangi Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 bersama Les Bleus.

Benzema tiba di Real Madrid dari Lyon pada 2009, namun dibayangi Cristiano Ronaldo, sehingga pemenang Ballon d'Or sebanyak lima kali itu berkelana ke Juventus pada 2018.

Sabtu lalu Benzema membuat kemunculan ke-529 buat Real, dia memecahkan rekod Roberto Carlos dengan jumlah penampilan terbanyak bagi bukan pemain Sepanyol. Benzema juga penjaring terbanyak kelab itu musim ini.

"Dia adalah pemain yang sudah matang. Bagaimanapun, dia membuktikan hanya boleh menjadi penyerang tulen saja, dia tidak memikirkan soal menjaringkan gol.

"Sebab itu saya sangat menyukainya, dia tidak hanya fikirkan mengenai jaringan. Dia terbabit dalam perlawanan, jika dia perlu melakukan hantaran dia akan melakukannya," kata Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 1:58 PM