MESSI menjadi sasaran utama City. FOTO AFP
MESSI menjadi sasaran utama City. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester City bertekad untuk menyatukan semula Lionel Messi dan Pep Guardiola selepas pengurus kelab itu menandatangani lanjutan kontrak baharu sehingga 2023.

City akan mengalihkan tumpuan mereka kepada Messi sekali gus bergabung bersama Guardiola yang pernah membimbing Barcelona dalam usaha memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Messi yang kontraknya akan tamat pada musim panas, bersedia meninggalkan Barcelona dan City kemungkinan mampu mendapatkannya seawal Januari.

Bintang Argentina itu mahu meninggalkan Barcelona sebelum ini namun mengambil keputusan untuk kekal bagi mengelak dikenakan hukuman oleh kelab yang menaikkan namanya itu.

Bagaimanapun dia dilaporkan akan meninggalkan Barcelona selepas berakhir musim ini.

City mahu mendapatkan pemain berusia 33 tahun itu dan percaya kehadiran pemain terbaik sepanjang zaman itu mampu melengkapkan impian kelab memenangi Liga Juara-Juara.

Guardiola sudah memberikan komitmen lanjutan dua tahun lagi di City dalam usaha mereka mencapai kejayaan di Liga Juara-Juara, pentas yang menyaksikannya memenanginya sebanyak dua kali bersama Messi di Barcelona.

Bagaimanapun Guardiola gagal melakukannya ketika membimbing Bayern Munich dan City.

Kontrak terbaharu Guardiola bernilai £20 juta (RM108.4 juta) setahun, menyaksikannya bakal kekal di Chelsea selama tujuh tahun sekali gus muncul pengurus kedua paling lama membimbing kelab.

"Sejak tiba di Manchester City, saya rasa dihargai oleh kelab," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 9:10 AM