SANUSI menegaskan KFA pada waktu itu didapati gagal bayar potongan selepas pemain pergi ke pejabat badan berkanun terbabit dan tunjuk penyata sebenar terdapat potongan dibuat. FOTO Bernama
SANUSI menegaskan KFA pada waktu itu didapati gagal bayar potongan selepas pemain pergi ke pejabat badan berkanun terbabit dan tunjuk penyata sebenar terdapat potongan dibuat. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Pengurusan terdahulu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) didakwa melakukan manipulasi ke atas penyata gaji pemain skuad Lang Merah sehingga menyebabkan KFA kini berhutang hampir RM5 juta kepada dua badan berkanun.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pengurusan terdahulu KFA dipercayai membuat dua penyata gaji pemain iaitu penyata gaji lebih rendah dibuat bagi diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jelasnya, penyata gaji sebenar yang diberi kepada pemain menyatakan terdapat potongan LHDN dan caruman KWSP dibayar majikan kepada dua pihak terbabit.

"Saya difahamkan dibuat dua penyata gaji, penyata gaji lebih rendah diberi kepada badan berkanun dan penyata sebenar diberi kepada pemain.

"Bagaimanapun, KFA pada waktu itu didapati gagal bayar potongan selepas pemain pergi ke pejabat badan berkanun terbabit dan tunjuk penyata sebenar terdapat potongan dibuat," katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Terdahulu ketika sesi soal jawab, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad mendedahkan, KFA mempunyai hutang kira-kira RM16 juta dan pengurusan baharu sudah membayar RM6 juta.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat KFA berkata, berikutan itu kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan berlaku pecah amanah dan salah tadbir urus dalam persatuan terbabit sebelum ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, laporan berkaitan manipulasi dalam penyata gaji terbabit sudah dibuat kepada LHDN dan KWSP serta tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pengurusan lama KFA.

"LHDN dan KWSP ada undang-undang sendiri dan boleh ambil tindakan ke atas orang yang bertanggungjawab dan jadi majikan pada masa itu.

"Akibatnya KFA kini berhutang dan terpaksa bayar hampir RM5 juta kepada badan berkanun terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 8:02 PM