ROBERT Lewandowski (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
ROBERT Lewandowski (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Dortmund: Bayern Munich berdepan kebimbangan untuk mengetahui sejauhmana tahap kecederaan Joshua Kimmich selepas melakar kemenangan 3-2 ke atas Borussia Dortmund hari ini sekali gus menduduki tangga teratas Bundesliga.

Pemain tengah Jerman itu yang mempamerkan prestasi cemerlang sejak akhir-akhir ini, dilihat berdepan kesukaran selepas mengalami kecederaan lutut pada separuh masa pertama.

"Dia akan pulang bersama-sama kami dan kemudian menjalani pemeriksaan. Masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai tahap kecederaannya," kata jurulatih Bayern, Hansi Flick.

Bayern meraih kemenangan kali keempat berturut-turut ke atas Dortmund dengan Robert Lewandowski sudah menjaringkan gol peribadi ke-11 hanya selepas enam perlawanan liga.

Selepas Marco Reus meletakkan Dortmund di depan, David Alaba menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma sebelum Lewandowski menanduk masuk bola pada awal separuh masa kedua.

Leroy Sane yang masuk sebagai pemain gantian menambah gol ketiga Bayern minit ke-80 sebelum Erling Braut Haaland menjaringkan gol kedua Dortmund tiga minit selepas itu.

Flick bagaimanapun mengakui ketiadaan Kimmich pasti memberi kesan besar kepada juara bertahan Liga Juara-Juara itu.

"Dia adalah pemain yang amat penting untuk kami dan sukar untuk mencari penggantinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 9:26 AM