JURULATIH Barca Koeman (kanan) kelihatan cukup kecewa dengan keputusan yang dilakarkan oleh pasukannya. FOTO AFP
JURULATIH Barca Koeman (kanan) kelihatan cukup kecewa dengan keputusan yang dilakarkan oleh pasukannya. FOTO AFP
AFP

Madrid: Barcelona meneruskan kemarau kemenangan apabila gagal memanfaatkan peluang untuk menewaskan Alaves yang beraksi dengan 10 pemain apabila sekadar melakarkan keputusan seri 1-1 sekali gus menyaksikan pasukan bimbingan Ronald Koeman menghuni kedudukan ke-12 liga.

Luis Rioja meletakkan Alaves di hadapan di Mendizorrotza selepas kesilapan penjaga gol Barca, Neto dengan Antoine Griezmann menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua selepas Jota Peleteiro diarahkan keluar padang.

Namun biarpun beraksi lebih 30 minit dengan kelebihan seorang pemain, Barcelona masih gagal menemui rentak kemenangan selepas tewas kepada Getafe dan Real Madrid dan seri ketika bertemu Sevilla.

Keputusan itu menyaksikan Madrid yang sebelum itu menang ke atas Huesca 4-1 kini lapan mata mendahului Barca manakala Atletico enam mata di hadapan selepas menang ke atas Osasuna 3-1. Atletico akan menerajui liga jika menang perlawanan seterusnya.

Biarpun masih di peringkat awal dalam pemburuan gelaran juara keseluruhan, jurang mata itu agak signifikan dan Koeman sedar persoalan mengenai kedudukannya sebagai jurulatih akan meningkat terutama selepas peletakan jawatan Josep Maria Bartomeu sebagai presiden Selasa lalu.

Bartomeu melantik Koeman sebagai jurulatih pada Ogos dan lapan mata dari enam perlawanan liga dijangka tidak akan dapat menarik perhatian presiden baru yang akan dipilih sebelum akhir Januari.

"Saya amat kecewa. Sekali lagi kami tidak bermain dengan baik untuk mendapatkan keputusan diingini.

"Gol pertama adalah hadiah dan kemudian kami mencipta banyak peluang tetapi tidak memanfaatkannya," kata Koeman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 10:24 AM