MARADONA membantu Argentina muncul juara dunia pada 1986. FOTO AFP
MARADONA membantu Argentina muncul juara dunia pada 1986. FOTO AFP
AFP

Paris: Diego Maradona mendedahkan beliau mempunyai impian sempena meraikan ulang tahun kelahiran ke-60, Jumaat lalu dengan menjaringkan satu lagi gol menentang England, tetapi kali ini menggunakan tangan kanan.

Legenda Argentina itu berseloroh dalam satu temuramah bersama France Football yang merujuk kepada gelaran gol 'Tangan Tuhan' ketika menentang England pada suku akhir Piala Dunia 1986 dengan Argentina muncul juara dunia ketika itu.

Sebelum ini apabila ditanya mengenai gol yang terkena tangan kirinya itu, dia berkata: "Jika saya dapat memohon maaf dan dapat mengubah sejarah, saya akan melakukannya.

"Tapi gol itu tetap gol, Argentina muncul juara dunia dan saya adalah pemain terbaik dunia."

Maradona berkata, paling membanggakan dirinya adalah apabila dapat memberikan kegembiraan kepada orang ramai menerusi bola sepak.

"Saya berasakan bahawa saya sudah memberikan kesenangan dan hiburan kepada mereka yang menyaksikan saya di stadium atau televisyen," kata legenda Argentina itu kepada France Football.

Maradona terpaksa mengehadkan untuk meraikan ulang tahun kelahirannya apabila dia terpaksa mengasingkan diri selepas pengawal peribadinya didapati positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 11:37 PM