NORZA bergambar bersama wakil Pemandu pada sidang media, hari ini. FOTO BAM
NORZA bergambar bersama wakil Pemandu pada sidang media, hari ini. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengorak langkah menjalin kerjasama strategik dengan Pemandu Associates untuk meningkatkan operasi BAM dengan sasaran menduduki kelompok tiga terbaik dunia menjelang temasya Olimpik Los Angeles 2028.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menjelaskan kepentingan dan keperluan kerjasama itu adalah agar barisan pemain negara dapat memecahkan dominasi empat kuasa utama iaitu China, Jepun, Indonesia dan Korea dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Ini adalah salah satu tindakan yang saya rasa, boleh menjadi contoh sebuah persatuan yang membawa masuk profesional untuk menunjukkan bahawa kita tulus dalam segala apa yang kita lakukan untuk penambahbaikan.

"Mereka (Pemandu) di antara tiga syarikat yang membida dan kami pilih berdasarkan kredibiliti mereka sebelum ini dan kita bawa masuk Pemandu ini sebab kita memerlukan profesional yang faham cara melakukannya," katanya.

Melalui kerjasama ini, Pemandu Associates akan menjalankan semakan menyeluruh terhadap bidang operasi teras BAM, termasuk Jabatan Teknikal, Pembangunan dan Pengurusan Pemain, Pengurusan Kewangan, Tadbir Urus dan Pengurusan Prestasi.

Norza berkata, ketika beliau bersiap sedia untuk meninggalkan BAM selepas Sukan Olimpik Paris, beliau sudah menyediakan laluan kepada ahli lembaga cara untuk mengendalikan kerjasama itu dengan adanya Pemandu ini.

Malah sasaran yang ditetapkan untuk berada di kelompok tiga terbaik dunia bukan sesuatu sukar ketika Aaron-Wooi Yik kini sudah menjadi lima terbaik dunia.

Sementara itu Presiden dan Pengerusi Pemandu, Datuk Sri Idris Jala meluahkan keyakinan bahawa sasaran itu bukan sesuatu yang mustahil baki tempoh lima tahun ini.

"Lima tahun itu sudah cukup untuk Pemandu. Buat ketika ini Pemandu akan melalui tiga fasa iaitu analisis, bengkal dan penyelesaian," katanya.

Pemandu adalah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan yang ditubuhkan pada 2009.

Penubuhannya bertujuan untuk memimpin perubahan terhadap sesuatu organisasi di negara ini dan memastikan program transformasi yang dirancang berjaya dilaksanakan.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kerjasama antara badan induk itu dengan Petronas, Norza berkata, setakat ini mereka mendapat maklum balas positif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:41 PM