ZII Jia berjaya atasi Ka Long di pusingan pertama Terbuka Indonesia. FOTO ASYRAF HAMZAH
ZII Jia berjaya atasi Ka Long di pusingan pertama Terbuka Indonesia. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas menarik diri daripada menyertai Terbuka Singapura minggu lalu, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tampil bertenaga di pusingan pertama Terbuka Indonesia selepas menumpaskan wakil Hong Kong, Ng Ka Long sebentar tadi.

Aksi yang dipamerkan pemain kelahiran Kedah itu menunjukkan bahawa dia bebas daripada sebarang masalah kecergasan dan mudah membenam cabaran Ka Long selepas mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-16.

Keyakinan yang ditampilkan pemain ranking ketujuh dunia itu dapat dilihat di set kedua apabila pada satu ketika meninggalkan lawannya 16-7 sebelum dia memuktamadkan kemenangan dalam tempoh 40 minit di Istora Senayan.

Zii Jia yang memperbaiki rekod pertemuan kepada 6-4 ke atas lawan ranking ke-21 dunia itu bakal berdepan dengan pemenang di antara Kiran George dari India atau pemain China, Weng Hong Yang di pusingan kedua.

Minggu lalu Zii Jia melalui satu hantaran di laman media sosial X Team LZJ, membuat keputusan menarik diri daripada Terbuka Singapura selepas mengambil kira penilaian perubatan yang menasihatkan dia tidak menyertai kejohanan itu susulan kecederaan hamstring dialaminya.

Turut mengiringi Zii Jia ke pusingan kedua ialah beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah yang menumpaskan Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui dari Taiwan 21-19, 22-20.

Mereka akan berdepan pasangan tuan rumah yang juga pilihan kelapan, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti atau gandingan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 1:13 PM