AARON dan Wooi Yik bekerja keras atasi lawan dari Taiwan.
AARON dan Wooi Yik bekerja keras atasi lawan dari Taiwan.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi terpaksa bertarung berhabis-habisan sebelum mengesahkan tiket ke suku akhir Terbuka Singapura, sebentar tadi.

Pertemuan antara Aaron Chia-Wooi Yik dan beregu lelaki dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin berlangsung penuh dramatik di Stadium Tertutup Singapura tu apabila pemenang terpaksa ditentukan di set penentuan selepas kedua-dua pasangan mempamerkan permainan menarik.

Wakil negara itu yang diletakkan selaku pilihan keempat bermula dengan baik untuk memenangi set pertama namun lawan bangkit di penghujung set kedua bagi mengheret ke set ketiga.

Di set penentuan, pasangan negara itu menggunakan segala pengalaman yang ada untuk mengawal tempo permainan serta gelanggang bagi menutup permainan dengan kemenangan 21-18, 21-23, 21-17 dalam masa 67 minit.

Mengikut rekod, ini pertemuan kali kelapan kedua-dua pasangan itu dengan lima kali kemenangan memihak kepada wakil negara dan selebihnya kepada lawan mereka itu.

Di suku akhir esok, Aaron Chia-Wooi Yik akan bertemu gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang turut mara selepas menewaskan satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-10, 20-22, 21-19.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal meneruskan perjuangan apabila tewas kepada wakil Belanda, Robin Tabeling-Salena Piek dalam pertarungan tiga set 18-21, 18-21, 21-10.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 10:49 PM