KETUA Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli. -FOTO NSTP
KETUA Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Institut Sukan Negara (ISN) menafikan tidak memberi perkhidmatan terbaik kepada pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang sehingga kini belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, pihaknya perlu melakukan pemantauan rapi terhadap pemain yang menduduki ranking ke-18 dunia itu dari semasa ke semasa.

"Doktor di ISN melakukan penilaian berdasarkan kepada siasatan mereka. Perundingan sentiasa berlaku antara doktor pakar untuk lihat situasi semasa Tze Yong.

"Pemerhatian secara teliti dilakukan kerana kita mahu pastikan perjalanan kariernya panjang. Jadi kita perlu berhati-hati apabila merawatnya.

"Ia bukan sahaja berkaitan soal perubatan tetapi perkara lain seperti sains sukan dan pemakanannya. Itu semua perlu diambil kira.

"Sebab itu kita kena berhati-hati untuk membenarkan atau melepaskannya bermain dalam satu-satu kejohanan. Dia sentiasa menjadi keutamaan kami dan memang kerap menjalani rawatan di ISN," katanya ketika ditemui selepas sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan, hari ini oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky hari ini mengesahkan Tze Yong perlu menjalani satu lagi pembedahan sekali gus tidak akan menyertai skuad Piala Thomas di Chengdu, China bermula 27 April hingga 5 Mei ini.

Tze Yong disahkan mengalami kecederaan belakang pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor, Februari lalu sebelum menjalani pembedahan tulang belakang kali pertama.

Pemain berusia 23 tahun itu kemudian menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China, yang sekali gus menutup peluangnya untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 2:32 PM