SZE Fei dan Izzuddin muncul naib juara BAC baru-baru ini.
SZE Fei dan Izzuddin muncul naib juara BAC baru-baru ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kejayaan mara ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China minggu lalu nyata membantu melonjakkan ranking beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Menerusi kemaskini ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Sze Fei-Nur Izzudin yang tewas di tangan pasangan nombor tiga dunia, Wei Keng-Wang Chang pada aksi final di Ningbo, melonjak empat anak tangga untuk berada di kedudukan ke-15 dunia.

Meskipun sekadar muncul naib juara BAC, namun ia dianggap pencapaian tertinggi dalam kerjaya Izzuddin-Sze Fei mengambil kira tahap kejohanan itu yang menyamai status Super 1000.

Untuk rekod, Sze Fei-Nur Izzuddin sebelum ini berpisah pada November 2022 sebelum bergandingan semula pada Mei tahun lalu. Gandingan negara itu tersenarai dalam skuad Piala Thomas di Chengdu, China bermula 27 April sehingga 5 Mei ini.

Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang ditunjuk jalan keluar oleh Sze Fei-Nur Izzuddin pada peringkat separuh akhir BAC pula kekal berada di ranking kelima dunia.

Sementara itu, perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia kembali berada di kedudukan 10 terbaik dunia selepas menduduki ranking ke-11 sebelum ini.

Jaguh Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting meraih lonjakan ketara empat anak tangga untuk menduduki ranking ketujuh dunia manakala sensasi Denmark, Viktor Axelsen kekal memegang status pemain nombor satu dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 5:36 PM