TZE Yong ketika beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), baru-baru ini. FOTO ASWADI ALIAS
TZE Yong ketika beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), baru-baru ini. FOTO ASWADI ALIAS
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memandang serius berhubung kecederaan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dan sentiasa meletakkan kepentingan kebajikan pemain lebih daripada segalanya.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan Tze Yong sambil dibantu oleh Institut Sukan Negara (ISN) agar pemain itu dapat kembali cergas sekali gus mengutip kembali mata dalam kejohanan akan datang untuk ke Olimpik Paris 2024.

Jelasnya, segala keputusan yang akan dilakukan itu harus di pandang serius dan tidak boleh tersilap langkah memandangkan pemain berusia 24 tahun itu masih belum berada di tahap terbaik.

"Tze Yong mengalami kecederaan yang agak serius. Ia masih dalam perhatian dan rawatan ISN serta juga pemantauan daripada BAM. Namun kita meletakkan Tze Yong punya kesihatan itu melebihi daripada kelayakan itu sebab kita tidak mahu sekiranya kita membenarkan beliau untuk bertanding, tetapi ia akan menyebabkan kecederaan yang berkekalan ataupun kecederaan yang susah untuk kita rawat.

"Sebab itu kita mengambil pendekatan yang berhati-hati, kita menilai cadangan serta laporan daripada pihak perubatan dan kita berharap dapat melaksanakan yang terbaik untuk Tze Yong.

"Jika kamu tahu, kita di BAM sentiasa meletakkan kebajikan atlet itu melebihi daripada perkara lain.

"Tentu saja kita berharap bahawa kecederaan ini tidak akan menghalang dari segi penglibatan beliau untuk meneruskan kejohanan kejohanan kelayakan Olimpik," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Selain itu, ketika ditanya apakah Tze Yong akan kembali dalam kejohanan terdekat, beliau memaklumkan pihaknya akan menilai sejauh mana kecederaan yang dialami itu dan ketika ini mereka akan memberi fokus kepada proses rawatan pemulihan terlebih dahulu.

Terdahulu Ketua perubatan BAM, Ooi Yu Hang berkata kecederaan terbaru yang dialami Tze Yong dikaitkan dengan cakera tulang belakangnya.

Ia berbeza berbanding ketika Terbuka Malaysia, bulan lalu yang mana kali ini ada kaitan dengan tulang belakangnya.

Pemain berusia 24 tahun itu ketika ini berada di tempat ke-15 dalam ranking Race to Paris dengan mengumpul 58,735 mata.

Mengikut kriteria kelayakan Olimpik Paris 2024, sejumlah 35 tempat kuota, satu tempat negara tuan rumah dan dua tempat global diperuntukkan untuk acara perseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 1:47 PM