CHONG Wei kecewa prestasi skuad badminton negara.
CHONG Wei kecewa prestasi skuad badminton negara.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keresahan disuarakan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei susulan keputusan kurang memberangsangkan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 mempunyai asas tersendiri namun ia tidak menggambarkan keseluruhan prestasi pasukan negara ketika ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata ini kerana badan induk itu sentiasa melipatgandakan usaha mempersiapkan skuad negara mengharungi saingan Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata adalah mustahil untuknya melakukan perubahan gerak kerja BAM dalam masa terdekat ini memandangkan berbaki kurang beberapa bulan sahaja lagi sebelum temasya berprestij itu membuka tirai pada 26 Julai depan.

"Saya sudah bercakap dengan Chong Wei semalam dan seperti biasa ia luahan perasaan beliau terhadap pemain kita. Saya kata kepada Chong Wei (sebenarnya itu) merupakan keresahan semua pihak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Namun beliau berkata seperti komennya sebelum ini, keputusan BATC bukanlah terlalu mengecewakan apabila meraih naib juara (pasukan lelaki) selain pemain dibelenggu kecederaan (di luar jangkaan).

Mohamad Norza berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan Chong Wei yang juga merupakan ahli jawatankuasa program Road to Gold (RTG) dan pengurus pasukan skuad badminton ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Malah beliau melahirkan harapan agar pemenang tiga pingat perak Olimpik itu mampu berkhidmat sepenuh masa untuk berkongsi kemahiran serta membimbing skuad negara yang bernaung di badan induk itu pada masa hadapan.

"Saya terima dengan hati terbuka kerana Chong Wei merupakan autoriti yang boleh bercakap tentang perkara ini. Kalau orang yang tiada kena-mengena memang saya resah tapi ini autoriti," katanya.

Media tempatan semalam melaporkan Chong Wei berputus asa dengan sukan badminton di Malaysia dan memberi amaran bahawa perubahan drastik diperlukan untuk menyelamatkan sukan itu di negara ini.

Pada BATC 2024 menyaksikan hasrat skuad lelaki negara untuk mempertahankan kejuaraan tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada China pada aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Skuad wanita pula terkandas pada aksi suku akhir kepada penyandang gelaran, Indonesia 0-3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 6:26 PM