REAKSI Tze Yong ketika menentang pemain Singapura, Jason Teh di Pusat Konvensyen Setia City.
REAKSI Tze Yong ketika menentang pemain Singapura, Jason Teh di Pusat Konvensyen Setia City.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong berdepan misi sukar untuk layak beraksi di pentas Olimpik Paris 2024 apabila disahkan mengalami kecederaan tulang belakang ketika diturunkan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 baru-baru ini.

Menurut Ketua Perubatan Sukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ooi Yu Hang, Institut Sukan Negara (ISN) terus memantau kecederaan pemain yang berada di ranking ke-15 dunia itu dan sudah diberikan satu suntikan bagi memastikan dia dapat pulih serta kembali ke gelanggang.

Namun begitu, pemain berusia 24 tahun terbabit mengalami kecederaan berbeza berbanding sebelum ini dan berharap dia dapat pulih dengan lebih cepat.

"Selama 10 hari ini, kami membenarkan dia (Tze Yong) melakukan beberapa latihan ringan untuk memperkuatkan ototnya. Doktor dari ISN menyarankan kami memerlukan 10 hari untuk memantau bagaimana keadaan dirinya menerima suntikan tersebut.

"Bagaimanapun, kecederaan ini berbeza yang menimpanya semasa Terbuka Malaysia dan kecederaan itu sudah pulih sepenuhnya. Kami tidak tahu bila dia akan pulih sepenuhnya tetapi kami perlu tunggu bagaimana suntikan ini ke atas dia (Tze Yong) kerana setiap orang akan beri reaksi berbeza," katanya.

Selain itu, Tze Yong akan terus menjalani rehabilitasi di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sambil dipantau beberapa badan berwajib untuk melihat keadaan dari semasa ke semasa.

Untuk rekod, Tze Yong mengalami kecederaan ketika turun menentang pemain Singapura, Jason Teh dalam kejohanan BATC yang berakhir Ahad lalu.

Terdahulu Arena Metro melaporkan jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock akan terus memantau serta membuat perancangan teliti agar pemain yang berada di ranking ke-15 dunia itu mampu layak ke Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 4:06 PM