LIEK HOU meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga. -FOTO RTM
LIEK HOU meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga. -FOTO RTM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 kategori SU5 (kecacatan tangan), Cheah Liek Hou mengharapkan Sambutan Tahun Baru Cina tahun 2024 akan memberikannya 'ong' dan membawa kejayaan lebih banyak serta bermakna kepada dia berbanding tahun sebelum ini.

Menurut Liek Hou, tahun ini amat penting buat dirinya apabila terdapat kejohanan yang begitu besar iaitu Paralimpik Paris 2024 yang akan bermula hujung bulan Ogos nanti.

Disebabkan itu, dia akan memastikan prestasinya sentiasa berada di kedudukan terbaik sambil mengharapkan orang ramai akan terus menyokongnya.

"Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina. Sempena tahun naga, saya berharap tahun ini dapat mencapai prestasi yang lebih baik dari tahun lepas.

"Semoga penyokong-penyokong saya dan Malaysia bolehlah menyokong kita dan atlet Malaysia," katanya ketika ditemui pada Rakaman Sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Atlet berusia 36 tahun itu ketika ini berada di ranking nombor satu dunia untuk perseorangan lelaki kategori SU5 dan dijangka tiada masalah untuk mengesahkan tiket ke temasya dunia itu.

Selain itu, Liek Hou juga menjadi sandaran utama untuk Malaysia mendapatkan emas di Paralimpik Paris 2024 selain beberapa atlet lain dan dengan prestasinya ketika ini, pemain kelahiran Kuala Lumpur dilihat boleh mempertahankan emas yang dimenanginya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 3:07 PM