PEARLY Tan-M Thinaah tewas di tangan beregu China.
PEARLY Tan-M Thinaah tewas di tangan beregu China.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Impian beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk terus cemerlang di Masters Indonesia berakhir selepas mereka kandas di suku akhir, hari ini.

Pasangan negara yang menduduki ranking ke-13 dunia itu seakan tiada jawapan untuk mengatasi lawan dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning apabila tewas 16-21, 9-21 hanya dalam tempoh 40 minit pada perlawanan berlangsung di Istora Senayan itu.

Ia menjadikan rekod pertemuan terus memihak kepada lawan mereka yang menduduki ranking kelima dunia itu apabila memenangi tiga daripada empat pertemuan mereka.

Terdahulu, Pearly-Thinaah membuka tirai 2024 dengan langkah kiri apabila mereka tersingkir awal di dua kejohanan utama.

Bermula di Terbuka Malaysia, beregu utama negara itu tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas straight set di tangan Sheng Shu-Tan Ning.

Di Terbuka India minggu lalu, pasangan negara sekali lagi terpaksa akur apabila tewas kepada gandingan Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama di pusingan kedua.

Nasib sama dihadapi beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing untuk yang turut kandas di suku akhir.

Pasangan negara itu dilihat sudah bersungguh-sungguh ketika berdepan lawan yang menduduki ranking pertama dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong sebelum tewas 21-18, 18-21, 13-21 dalam perlawanan selama 59 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 4:43 PM