SE Young dinobat juara ketika menentang pemain Taiwan, Tzu Ying, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
SE Young dinobat juara ketika menentang pemain Taiwan, Tzu Ying, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: An Se Young mencipta sejarah di Terbuka Malaysia menjadi perseorangan pertama Korea Selatan, berjaya muncul juara selepas menumpaskan jaguh Taiwan, Tai Tzu Ying di final sebentar tadi.

Sebelum ini tidak ada langsung perseorangan dari negara berkenaan termasuk bahagian lelaki berjaya muncul juara kecuali beregu lelaki, wanita dan campuran.

Se Young yang juga pilihan utama bangkit dari kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 10-21, 21-10, 21-18 di depan ribuan penyokong di Axiata Arena.

"Saya gembira dapat menang perseorangan pertama untuk Korea Selatan tapi paling penting adalah memulakan musim baharu dengan kemenangan. Untuk saya, ini adalah proses dan buat aksi terbaik dalam kejohanan pertama," katanya.

Hasil kemenangan itu, Se Young yang juga pemain nombor satu dunia itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$91,000 (RM422,877) berserta trofi, manakala Tzu Ying berpuas hati dengan AS$44,200 (RM205,397) dan trofi.

Dalam aksi perseorangan lelaki, Anders Antonsen berjaya mengekalkan kemenangan kali ketiga berturut-turut buat Denmark selepas menumpaskan Shi Yu Qi dari China, 21-14, 21-13.

Sementara itu, dalam beregu campuran, wakil Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino muncul juara selepas mengalahkan pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 21-18, 21-15.

Dalam beregu wanita, Liu Sheng Shu-Tang Ning muncul juara selepas mengalahkan rakan senegara, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-18, 21-18.

Bagi saingan beregu lelaki, pasangan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang berjaya muncul juara selepas mengalahkan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 9-21, 21-18, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 6:44 PM