TZE Yong (kanan) terpaksa menarik diri di pusingan pertama Terbuka Malaysia, semalam, akibat cedera belakang. FOTO ASWADI ALIAS
TZE Yong (kanan) terpaksa menarik diri di pusingan pertama Terbuka Malaysia, semalam, akibat cedera belakang. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi & Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan negara, Datuk Tey Seu Bock memaklumkan pihaknya kini masih menunggu laporan penuh daripada pegawai perubatan sama ada kecederaan Ng Tze Yong serius atau sebaliknya.

Beliau berkata, sudah ada satu perjumpaan bersama doktor, hari ini, namun Tze Yong perlu dirawat sekali lagi untuk melihat secara mendalam mengenai kecederaan dialaminya.

"Semalam selepas habis perlawanan, kita sudah jumpa doktor. Sudah imbas, tapi tak bagi detail lagi (tahap kecederaan) dan sepatutnya laporan itu dapat pagi ini.

"Tetapi kena tunggu lagi kerana perlu jumpa semula doktor 9 pagi esok. Kena tunggu untuk tahu lebih lanjut apa masalah dia sama ada otot koyak atau lain," katanya.

Menurutnya, sebagai pemain mengalami kecederaan di dalam latihan itu adalah perkara biasa dan untuk kejohanan Terbuka India, Seu Bock akan melihat laporan penuh dari pegawai perubatan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan.

"Sebelum ini pun memang ada kecederaan dan kita fokus mengatasi perkara itu.

"Jika dia cedera serius, sebagai jurulatih kita mesti risau kerana sekarang dia dalam mengejar mata ke Olimpik Paris 2024," katanya.

Semalam, kempen perseorangan lelaki negara di Terbuka Malaysia berakhir apabila Tze Yong cedera belakang ketika menentang pemain Jepun, Koki Watanabe di pusingan pertama.

Tze Yong yang berada di ranking ke-15 dunia itu, mengalami kecederaan ketika ingin melakukan smash dan tidak mampu meneruskan perlawanan sehingga menarik diri ketika ketinggalan 8-12 di set pertama dan 10 minit perlawanan berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 4:20 PM