KIAN MENG-PEI JING ketika beraksi pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena. -FOTO Aswadi Alias
KIAN MENG-PEI JING ketika beraksi pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena. -FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ia ibarat sudah jatuh ditimpa tangga buat beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang sebelum ini dikeluarkan dari Program Road To Gold (RTG) dan sekarang bergelut mencari penaja bagi meneruskan musim 2024.

Menurut Pei Jing, pakaian yang dipakai mereka ketika memulakan aksi musim ini di Terbuka Malaysia, kosong tanpa logo penaja dan hanya tertera jenama di baju dan seluar.

Kian Meng-Pei Jing dalam posisi sukar untuk memburu semaksimum mungkin mata kelayakan ke Sukan Olimpik di Paris, Julai depan.

Menurut Pei Jing, mereka tidak mempunyai sokongan yang cukup, namun sebagai pasangan beregu campuran yang berpengalaman, situasi itu akan cuba diuruskan sebaik mungkin.

"Sekarang baju kosong, tak ada penaja lain tetapi kami memang memahami kerana keputusan kejohanan yang kami sertai tahun lalu, sangat teruk," kata pemain berusia 31 tahun itu.

Ujarnya, jika mereka berjaya menghasilkan keputusan yang baik bagi musim baharu ini, penaja akan datang membantu.

"Jadi, saya dan Kian Meng akan berusaha mendapatkan keputusan yang baik, selepas itu mungkin kami akan berkerja mencari penaja," kata pemain kelahiran Pahang itu.

Sementara itu, Kian Meng pula enggan topik ketiadaan penaja menjadi perbincangan utama kerana mahu fokus kepada peningkatan prestasi untuk bersaing dengan gandingan terbaik dunia lain.

Pada kejohanan bertaraf Super 1,000 Terbuka Malaysia minggu ini, Kian Meng-Pei Jing, terkandas di pusingan pertama selepas kalah kepada pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 11-21, 16-21 dalam tempoh 38 minit.

Kekalahan itu menyaksikan pasangan Korea Selatan terbabit menyamai rekod pertemuan 2-2.

Pertemuan pertama dua gandingan itu berlangsung di Kejohanan Badminton Asia 2022 yang dimenangi Kian Meng-Pei Jing, namun pada Terbuka Singapura tahun lalu, lawan mereka yang menghuni ranking ketujuh dunia berjaya mengikat rekod pertemuan 1-1.

Pertemuan ketiga di Kumamoto Masters, Jepun pula menyaksikan Kian Meng-Pei Jing menang straight set 21-14, 21-17.

Mereka yang menghuni ranking ke-25 dunia bergelut untuk bangkit semula selepas prestasi buruk tahun lalu apabila 11 kali terkandas di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 4:11 PM