ZII Jia (kanan) berlatih dengan Popov menjelang Terbuka Malaysia di Axiata Arena, esok.
ZII Jia (kanan) berlatih dengan Popov menjelang Terbuka Malaysia di Axiata Arena, esok.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia mencuba elemen Perancis untuk diterapkan dalam sesi latihannya, kira-kira enam bulan menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemain berusia 25 tahun itu kini berlatih bersama pemain adik-beradik dari Perancis - Toma Junior Popov dan Christo Popov - bagi mendapatkan pengalaman berdepan pemain dengan corak permainan berbeza-beza menjelang Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena bermula esok.

Menetapkan Olimpik Paris sebagai sasaran utama, pemain di ranking ke-11 dunia itu berkata, sesi latihan berkenaan membantu beliau mendapatkan pengalaman dan keupayaan untuk menghadapi lawan dengan gaya permainan dan kemahiran berbeza untuk menguasai perlawanan.

"Amat baik untuk bermain dengan pemain dari negara lain kerana kita boleh membantu satu sama lain (meningkatkan prestasi).

"Mereka antara barisan pemain perseorangan terbaik di Eropah. Adalah bagus untuk mempunyai rakan seperlatihan yang berbeza-beza," katanya.

Menduduki tempat ke-11 ranking Race to Paris, juara All England 2021 itu berharap dapat mengesahkan slot ke Paris 2024 lebih awal supaya dapat mengurangkan jumlah kejohanan yang akan disertainya tahun ini.

"Buat masa ini, saya akan beraksi dalam kejohanan peringkat Asia, Masters Thailand (30 Januari hingga 4 Februari dan kemudian di Eropah. Kita tengok macam mana, bergantung kepada prestasi saya, kalau layak awal, saya akan kurangkan kejohanan disertai.

"Bertanding dalam banyak kejohanan pun, kalau keputusan tak baik tak guna juga, tak ada kesan. Ranking ke Paris pun ambil 10 kejohanan terbaik sahaja, kalau bertanding 30 kejohanan pun, semua setakat pusingan pertama tidak guna juga," katanya.

Zii Jia dan seorang lagi pemain negara, Ng Tze Yong yang menduduki tempat ke-13 dalam kelayakan ke Paris, mempunyai peluang cerah untuk layak kerana setiap negara mempunyai kuota dua wakil dalam acara perseorangan jika kedua-duanya berada di tempat ke-16 dan ke atas pada tempoh berakhir kelayakan pada 28 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 9:17 PM