AARON  menjawab soalan media selepas sesi latihan   di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini. FOTO Bernama
AARON menjawab soalan media selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengharapkan permulaan cemerlang untuk 2024 dengan meraih keputusan terbaik di Terbuka Malaysia yang akan berlangsung minggu depan.

Menurut Aaron, mereka mengharapkan jelajah pertama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu dimulakan dengan langkah kanan tambahan pula beraksi di laman sendiri.

"Memang kita pun harap jelajah pertama untuk tahun ini boleh bermula dengan baik kerana ia sangat penting disebabkan beraksi di hadapan peminat sendiri," katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Ujar pemain kelahiran Melaka itu, saingan di Terbuka Malaysia nanti dijangka lebih mencabar selepas hanya tinggal beberapa bulan lagi untuk pemain mencari mata kelayakan Sukan Olimpik Paris.

"Saya rasa mungkin sebab tinggal beberapa bulan lagi untuk semua pemain berusaha bersungguh-sungguh bagi kelayakan Olimpik. Jadi semua pemain akan memberikan segala-galanya yang mereka ada," kata Aaron yang menduduki ranking keempat dunia bersama Wooi Yik.

Ditanya mengenai sasaran menjadi pasangan nombor satu dunia, Aaron berkata, ia memang sentiasa menjadi sasaran mereka namun mengakui masanya akan tiba satu hari nanti.

"Hendak cakap banyak tak boleh nanti orang komen sentiasa mahukan nombor satu dan hanya cakap sahaja, itu yang saya tidak suka cakap sasaran.

"Biar prestasi di dalam gelanggang yang tolong jawab perkara ini," kata Aaron yang akan berdepan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark di pusingan pertama nanti.

Untuk rekod, pada tahun lalu Aaron-Wooi Yik menamatkan saingan Terbuka Malaysia di pusingan kedua selepas tewas di tangan beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 10-21, 21-23.

Gandingan pemenang pingat emas di Kejohanan Dunia pada 2022 itu meraih pencapaian terbaiknya di Terbuka Malaysia pada kempen 2022 dengan berada di separuh akhir sebelum tewas di tangan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-23, 9-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 2:34 PM