AARON (kiri) dan Wooi Yik tiga kali terkandas di peringkat kumpulan pada kempen Jelajah Dunia Akhir BWF, sebelum ini. FOTO ARKIB NSTP
AARON (kiri) dan Wooi Yik tiga kali terkandas di peringkat kumpulan pada kempen Jelajah Dunia Akhir BWF, sebelum ini. FOTO ARKIB NSTP
Helmi Talkah


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan ujian getir dalam misi untuk menghapuskan badi terkandas di peringkat kumpulan saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bermula Rabu ini.

Ini selepas pasangan negara itu diundi dalam Kumpulan A yang dianggap kumpulan maut bersama dua wakil China termasuk beregu nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi selain Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.

Sebagai rekod, ini adalah kali keempat Aaron-Wooi Yik layak beraksi di kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.70 juta) itu selepas edisi 2019, 2020 dan 2022.

Tiga edisi sebelum ini menyaksikan bekas juara dunia itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Kumpulan B pula dibarisi pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark) dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia).

Sementara itu, undian bagi saingan beregu campuran menyaksikan pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang akan membuat penampilan pertama di kejohanan itu diundi dalam Kumpulan A.

Pasangan itu diundi bersama gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun) dan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand).

Saingan Kumpulan B membariskan gandingan nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, Seung Jae-Chae Yu Jung (Korea), Kim Won Ho-Jeong Na Eun (Korea) dan Tang Chun Man-Tse Ying Suet (Hong Kong).

Mengikut format pertandingan, dua pasangan teratas peringkat kumpulan layak ke separuh akhir.

Majlis undian yang berlangsung serentak dengan Majlis Makan Malam Gala sempena Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, malam ini menyaksikan dua pemain Korea, Seung Jae dan An Se Young masing-masing dinobatkan sebagai pemain terbaik tahunan lelaki dan wanita.

Anugerah beregu terbaik pula dimenangi pasangan wanita China, Chen Qingchen-Jia Yifan manakala rakan sepasukan mereka dipilih sebagai pemain paling meningkat tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 10:51 PM