AARON (kanan) bersama Wooi Yik menganggap semua beregu di Jelajah Dunia Akhir mempunyai peluang sama rata untuk muncul juara. FOTO ASWADI ALIAS
AARON (kanan) bersama Wooi Yik menganggap semua beregu di Jelajah Dunia Akhir mempunyai peluang sama rata untuk muncul juara. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui mereka kini lebih tenang apabila turun beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bermula Rabu ini.

Ini kerana, tumpuan tidak akan terlalu terarah kepada mereka selepas terkandas di peringkat kumpulan di tiga penyertaan sebelum ini.

Aaron-Wooi Yik pernah beraksi di tiga edisi Jelajah Dunia Akhir iaitu pada 2019, 2020 dan 2022, namun gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Namun Aaron sedar, masih ada harapan dan tanggungjawab yang perlu dilakukan iaitu melangkah sejauh mungkin.

"Tiada sasaran, tapi yang pasti kami mahu melangkah sejauh mungkin. Mungkin kali ini lawan tak beri fokus sangat kepada kami sebab tiga penyertaan sebelum ini kami kalah awal.

"Tapi sesiapa pun kalau main mesti nak menang," katanya.

Aaron berkata, lapan pasangan yang layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF tetap mempunyai peluang sama rata untuk bergelar juara.

Katanya, apa yang penting adalah kekal konsisten dalam setiap perlawanan bagi memastikan mereka keluar dari gelanggang sebagai pemenang.

"Semua ada peluang, tapi sebenarnya lawan yang paling sukar adalah diri sendiri.

"Dari segi fizikal, kami dalam keadaan terbaik, tetapi apa yang lebih penting untuk kami adalah kekuatan mental. Jika mental kuat, tiada masalah untuk mengatasi segala halangan," katanya.

Hanya lapan pasangan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia layak beraksi di kejohanan akhir musim itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$2.5 juta (RM11.70 juta) dengan Aaron-Wooi Yik berada di kedudukan keempat.

Tujuh lagi pasangan adalah beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), Kang Ming Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dan Muhammad Shohibul Fikri-Baga Maulana (Indonesia).

Mengikut format pertandingan, semua lapan pasangan akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan dua gandingan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara dalam kejohanan akhir musim itu adalah pada 2016 yang ketika itu dikenali sebagai Siri Super Akhir menerusi beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 4:51 PM