NOVA (kanan) bersama Tang Jie (tengah) dan Ee Wei pada sidang media sempena Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou. FOTO ASWADI ALIAS
NOVA (kanan) bersama Tang Jie (tengah) dan Ee Wei pada sidang media sempena Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tidak mustahil beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar kejutan di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, minggu depan.

Ia sudah dibuktikan oleh pasangan baru digandingkan bersama sejak November tahun lalu itu yang kini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia dan mara ke Jelajah Dunia Akhir.

Ia sesuatu perkembangan positif buat mereka yang kini berada di ranking kesembilan dunia dalam perjalanan menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagi jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, apa yang dipamerkan Tang Jie-Ee Wei sudah cukup baik tatkala perlu berdepan jadual perlawanan padat membabitkan 22 kejohanan di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun ini.

"Untuk Jelajah Dunia ini saya harap mereka boleh melepasi halangan di peringkat kumpulan terlebih dahulu seterusnya layak ke separuh akhir, ambil mata Olimpik. Tak perlu fikirkan untuk menjadi juara.

"Sekarang ini mereka dalam kelompok 10 terbaik dan Jelajah Dunia ini menawarkan mata yang banyak dan jika mereka berjaya menembusi kelompok lapan terbaik dunia selepas Jelajah Akhir ini, itu bermakna kedudukan mereka untuk ke Olimpik sudah terjamin," katanya.

Nova berkata, daripada tujuh lagi pasangan yang layak ke Hangzhou, hanya dua pasangan belum pernah dikalahkan oleh Tang Jie-Ee Wei iaitu Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China dan Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun).

Katanya, lima lagi pasangan iaitu Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping (China), Seo Seung Jae-Chae Yu Jung (Korea Selatan), Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand), Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin (China) dan Kim Won Ho-Jeong Na Eun (Korea Selatan) kesemuanya pernah ditewaskan oleh mereka.

"Justeru di atas kertas setiap pasangan itu mempunyai peluang, namun apa yang penting adalah keyakinan dan kemahuan mereka sendiri sejauh mana ingin melangkah.

"Sasaran awal ketika saya mengambilalih mereka adalah Olimpik, tapi sekarang mereka berjaya beraksi di Jelajah Dunia dan itu sangat bagus.

"Saya beritahu mereka boleh pergi lebih jauh cuma terpulang kepada mereka saja sama ada mahu atau tidak," katanya.

Jelajah Dunia Akhir akan membuka tirainya dari 13 hingga 17 Disember ini dan menawarkan jumlah hadiah keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.66 juta).

Undian akan berlangsung pada Isnin ini dengan Pemenang Anugerah Pemain Terbaik BWF akan diumumkan pada malam berkenaan apabila gandingan negara itu turut tercalon untuk anugerah pemain paling meningkat musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 5:57 PM