ZII Jia mudah benam Hong Yang di Terbuka Perancis.
ZII Jia mudah benam Hong Yang di Terbuka Perancis.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Satu kemenangan yang boleh meniup kembali semangat juang pemain profesional lelaki negara Lee Zii Jia apabila berjaya membalas dendam kekalahannya di Terbuka Denmark minggu lalu kepada pemain China, Weng Hong Yang di Terbuka Perancis.

Dia yang hampir membuat keputusan untuk tidak beraksi di Terbuka Perancis itu berjaya menundukkan Hong Yang 21-15, 21-11 pada pusingan pertama lewat malam tadi.

Selepas muncul juara di Terbuka Artik di Finland - gelaran pertamanya dalam tempoh 17 bulan dua minggu lalu, Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-11 dunia terus mengorak langkah untuk mendapatkan tonik terbaik buat dirinya.

Bercakap selepas tamat perlawanan Zii Jia mengakui dia memikirkan beberapa kali sebelum keputusan beraksi di Terbuka Perancis dilakukan.

Ia ditambah pula apabila Zii Jia hanya tiba di Perancis pada Selasa, hanya sehari sebelum perlawanan pertamanya kerana transit yang lama di Amsterdam.

Namun Zii Jia berkata, keputusannya untuk beraksi kali ini berbaloi apabila dia berjaya melunaskan dendam terhadap Hong Yang.

"Saya sangat gembira apabila saya memang. Sebelum perlawanan saya memikirkan untuk menarik diri kerana ini adalah kejohanan keempat berturut-turut saya bermula di Sukan Asia.

"Keadaan itu memberi kesan buruk kepada diri dan pasukan yang prihatin dengan keadaan diri saya. Saya memilih untuk bermain sekurang-kurangnya satu perlawanan dan melihat keadaan saya. Dari segi fizikal, saya berasa hebat. Semua keletihan dilupakan," katanya.

Untuk rekod Terbuka Perancis adalah kejohanan keempat berturut-turut Zii Jia selepas menyertai Sukan Asia diikuti Terbuka Artik dan Terbuka Denmark.

Zii Jia dijadualkan menentang juara Sukan Asia China, Li Shi Feng, awal pagi nanti.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara Ng Tze Yong menepati ramalan apabila melepasi halangan pertama dengan menewaskan Mark Caljouw dari Belanda 21-9, 21-9.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 12:40 PM