Kuala Lumpur: Kecergasan tidak berada pada tahap terbaik antara faktor utama pemain perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia (LZJ) sukar untuk fokus sehingga dia perlu bertarung tiga set dalam kejohanan disertainya.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, perkara itu boleh dilihat dalam perlawanan melibatkan dirinya dan kadang-kala Zii Jia seperti hilang fokus sehingga membenarkan lawan memenangi perlawanan tersebut.
Beberapa aspek seperti kecergasan, mental dalam perlawanan dan rakan sepelatih kurang kompetitif membuatkan Zii Jia sedikit bergelut untuk kembalikan prestasi di tahap terbaik.
"Perkara itu boleh kita lihat terutama dalam pertarungan tiga set. Beliau boleh menang set pertama atau kedua dan bila dalam set penentuan, LZJ seperti sukar untuk memenangi perlawanan itu.
"Dia tiada keyakinan tinggi seperti mana dia menang waktu pandemik dulu di kejohanan All England (Kejohanan Seluruh England)," katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Tambah Sadek, ketika bersama Datuk Misbun Sidek, boleh dilihat kecergasaan dirinya, fizikal otot dan pergerakannya lebih baik berbanding sekarang.
"Dia seperti satu dua langkah terkebelakang dan lambat dalam pergerakan selain reaksi dia teragak-agak dalam membuat keputusan. Permainan dia juga mudah dibaca dan di kejohanan antarabangsa, siapa sahaja boleh kalahkan dia," kata Sadek.
Perkara tersebut boleh dilihat daripada 15 kejohanan disertai setakat September tahun ini, Zii Jia tewas 11 kali dalam pertarungan tiga set.
Terdahulu di temasya Sukan Asia dalam acara berpasukan ketika bertemu Korea Selatan di pusingan pertama, pemain berusia 25 tahun ini turut tewas mengejut kepada Jeon Hyeok Jin yang berada di kedudukan nombor 47 dunia.
Dalam acara perseorangan lelaki di pusingan pertama, dia hampir ditunjukkan jalan keluar sebelum bangkit memenangi perlawanan ke atas pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long 15-21, 21-15, 21-16.
Ketika ini, Zii Jia akan meneruskan perjuangan ke pusingan ketiga dalam misi memburu pingat emas untuk Malaysia di temasya Sukan Asia Hangzhou.