Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berharap gelanggang badminton temasya Sukan Asia Hangzhou di Gimnasium Binjiang berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan terutamanya oleh barisan pemain negara.
Ini kerana, beliau tidak mahu insiden beregu wanita utama negara, Pearly Tan tergelincir ketika beraksi di final Terbuka Hong Kong menentang gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silvia Ramadhanti, Ahad lalu berulang lagi.
Pada aksi itu, Pearly yang bergandingan dengan M Thinaah tergelincir di set ketiga sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan sekali gus membataskan pergerakannya dan menyaksikan gandingan negara itu tumpas 21-14, 22-24, 9-21 dalam pertarungan selama 73 minit.
Terdahulu, beberapa pemain seperti Zhang Bei Wen, Pornpawee Chochuwong, Carolina Marin serta Viktor Axelsen turut meluahkan kekecewaan mereka mengenai keadaan permukaan gelanggang di Terbuka Hong Kong yang membahayakan keselamatan mereka.
Namun Rexy mengesahkan kecederaan Pearly tidak serius dan tambah melegakannya, Malaysia tidak menyertai acara berpasukan wanita, sekali gus memberikan masa yang lebih panjang untuk Pearly melalui proses pemulihan sebelum saingan individu membuka tirai pada 2 Oktober.
"Saya harap di Sukan Asia tidak ada masalah sebegini, saya rasa perkara ini pihak BWF (Persekutuan Badminton Dunia) perlu ambil maklum dan ia pun sudah terjadi.
"Janganlah perkara sudah berlaku, biarkan sahaja. Perkara ini sudah terjadi dan menjadi masalah di beberapa kejohanan, jadi kita harap BWF mengambil serius tentang perkara ini.
"Memang untuk saat ini kita sudah pun memberikan ruang untuk dirinya (Pearly) berehat dan kecederaannya tidak serius, cuma ototnya ada sedikit tegang," kata Rexy yang ditemui media di ABM, hari ini.