EOGENE Ewe antara sandaran negara di Kejohanan Remaja Dunia BWF. FOTO badmintonasia.official
EOGENE Ewe antara sandaran negara di Kejohanan Remaja Dunia BWF. FOTO badmintonasia.official
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Skuad badminton remaja negara dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi peringkat kumpulan di Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia BWF 2023 di Washington, Amerika Syarikat (AS) pada 25 September hingga 8 Oktober depan.

Pada majlis undian di ibu pejabat BWF, hari ini, skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama-sama England, Latvia, Austria dan Poland.

Juara bertahan, Korea Selatan diundi bersama-sama pemenang 13 kali, China dengan Australia, Belanda dan Norway Norway bakal menjadi lawan mereka dalam Kumpulan A.

Sementara itu, naib juara edisi lalu, Taiwan diletakkan bersama gergasi badminton Eropah, Denmark dalam Kumpulan G bersama-sama New Zealand, Slovakia dan Tahiti, manakala Indonesia diundi bersama-sama Estonia, Armenia, Portugal dan Georgia dalam Kumpulan E.

Mengikut format kejohanan, hanya juara kumpulan sahaja akan mara ke pusingan suku akhir bagi merebut gelaran juara berserta trofi atau kedudukan kedua sehingga kelapan.

Manakala lapan pasukan naib juara setiap kumpulan pula akan ke pusingan seterusnya untuk menentukan kedudukan kesembilan hingga ke-16 bagi kejohanan ini.

Pada edisi dahulu yang berlangsung di Sepanyol, pasukan negara menamatkan saingan di kedudukan kelapan selepas gagal mara ke pusingan suku akhir apabila sekadar berpuas hati di tangga kedua kumpulan di belakang Indonesia.

Pencapaian terbaik Malaysia di kejohanan itu adalah pada 2011 apabila menjadi juara selepas menumbangkan Korea Selatan, 3-0 di final.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 8:16 PM