JUN Hao akan bertemu Muhammad Shaqeem, esok. FOTO HAZREEN MOHAMAD
JUN Hao akan bertemu Muhammad Shaqeem, esok. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao enggan episod duka pada 2019 berulang kembali apabila turun pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023, esok.

Justeru beliau tidak akan memandang rendah dengan keupayaan rakan sepelatihnya, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar yang akan menjadi lawannya pada perlawanan akhir dalam misi memburu gelaran pertama.

"Esok (hari ini) perlawanan akhir, jadi saya perlu beri fokus sama seperti aksi-aksi terdahulu. Bertemu Shaqeem, saya yakin dia pasti akan buat yang terbaik dalam perlawanan akhir nanti.

"Kalau saya dapat menang kejohanan ini, pasti ia sesuatu yang bagus dan kepuasan untuk diri sendiri. Saya yakin semua orang tidak mahu kalah dalam mana-mana perlawanan," katanya.

Sudah tentu saya perlu bersedia untuk berdepan aksi sukar kerana kami sentiasa berlatih bersama dan tahu gaya permainan masing-masing. Justeru, ia tidak akan jadi satu perlawanan mudah," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Terdahulu, Jun Hao, yang juga naib juara 2019 memastikan slot di pentas final apabila menewaskan juara kebangsaan sebanyak dua kali, Lim Chi Wing menerusi aksi straight set 21-15, 21-17 di separuh akhir.

Dalam pada itu Mengulas pertemuan dengan Chi Wing, dia yang juga juara remaja Asia 2017 berkata, memiliki kelebihan dari segi kecergasan menjadi faktor kemenangan ke atas pemain berusia 28 tahun itu.

"Saya fikir hari ini (semalam) bermain lebih sabar selain dia (Chi Wing) sudah lama tidak berlatih, jadi ada kekurangan dari segi fizikal. Selain itu, dia juga masih penat disebabkan perlawanan sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 3:59 PM