CHI WING cemerlang teruskan rentak kemenangan di Kejohanan Badminton Kebangsaan. -FOTO NSTP
CHI WING cemerlang teruskan rentak kemenangan di Kejohanan Badminton Kebangsaan. -FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Mimpi indah pemain profesional negara, Lim Chi Wing di Kejohanan Badminton kebangsaan diteruskan apabila menyingkirkan pemain kebangsaan Aidil Sholeh Ali Sadikin hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara, Chi Wing dilihat tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan Aidil Sholeh apabila menang straight set 22-20,21-8 dalam aksi yang memakan masa 38 minit.

"Untuk perlawanan hari ini saya sudah membuat persiapan rapi dan sudah menjangka aksi hari ini akan penat sebab dia seorang pemain yang suka main rali.

"Kunci kemenangan hari ini mungkin saya berjaya mengawal tekanan berbanding lawan saya," katanya.

Menanti Chi Wing di pusingan separuh akhir esok adalah pilihan pertama kejohanan, Leong Jun Hao yang berjaya menewaskan pemain profesional Lim Chong King straight set 21-19, 24-22.

Sementara itu Jun Hao ketika ditemui selepas perlawanan memberitahu dia sebenarnya tidak sabar untuk berjumpa lawannya itu yang dianggap sebagai 'abang' memandangkan Chi Wing banyak membantunya ketika pada awal kariernya.

Walaupun begitu, dia akan cuba tidak terlalu menghormati abangnya itu dan akan cuba memberikan aksi yang terbaik pada perlawanan separuh akhir esok.

"Dia (Chi Wing) memang pemain yang berpengalaman. Kami pernah berlatih sama-sama dahulu sebab sama-sama Kuala Lumpur dan juga adalah kawan yang rapat yang saya kenal sejak berusia 9 tahun," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 7:09 PM