JUN Hao muncul naib juara Kejohanan Badminton Kebangsaan pada 2019.
JUN Hao muncul naib juara Kejohanan Badminton Kebangsaan pada 2019.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao mengintai peluang untuk merangkul gelaran juara pertama Kejohanan Badminton Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 9 Julai di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini.

Jun Hao yang meraih naib juara pada edisi 2019 berkata jika beliau memenangi edisi 2023, kemenangan itu pastinya meningkatkan tahap keyakinannya untuk beraksi pada kejohanan akan datang termasuk menentang juara dunia 2021, Loh Kean Yew dari Singapura pada pusingan pertama Terbuka Korea dari 18-23 Julai.

"Saya pasti tekanan akan diberikan kepada Kean Yew, namun saya akan memberikan sepenuhnya dan lakukan yang terbaik untuk menentang beliau," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Kedua-dua pemain itu pernah bertemu sekali pada Siri Antarabangsa Singapura 2017 yang menyaksikan Kean Yew menang 21-10, 21-14.

Mengambil kira statusnya sebagai pilihan utama dan ketiadaan pemain utama lain pada pertemuan kebangsaan itu, Jun Hao bagaimanapun akan berhati-hati dengan ancaman daripada pemain lain terutamanya pemain muda pada kejohanan itu.

"Bagi saya junior akan bermain dalam keadaan tiada tekanan, mereka pasti buat yang terbaik dan mendorong kami sehingga penghujungnya.

"Walaupun berlatih sekali, mesti susah juga kerana mereka tahu corak permainan semua, tak boleh pandang ringan, mereka (junior) tidak rugi apa-apa," katanya.

Walaupun tiada nama besar seperti Lee Zii Jia dan pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 Ng Tze Yong, pemain berusia 23 tahun itu berpendapat kejohanan kebangsaan itu tetap perlawanan berprestij di negara ini.

Beliau percaya ketiadaan beberapa bintang dalam kejohanan itu akan memberi peluang yang adil buat dirinya serta pemain lain untuk muncul juara kebangsaan pertama sejak 2019.

Kejohanan Badminton Kebangsaan akan kembali dalam kalendar badminton negara selepas empat tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 4:36 PM