NG Tze Yong. FOTO Reuters
NG Tze Yong. FOTO Reuters
Syazwan Msar dan Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Keputusan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann meletak jawatan tidak akan memberi impak besar terhadap program membabitkan perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong.

Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan berkata, ketika ini program latihan membabitkan pemain terbabit berjalan seperti biasa terutama membabitkan usaha untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata, pemain yang berada di ranking ke 21 dunia itu akan terus fokus untuk mempertingkatkan lagi kualiti permainan bagi mencapai potensi sebenar sekali gus mampu mengutip mata kelayakan ke temasya Olimpik itu.

"Ia (program latihan) berjalan seperti biasa kerana kita tahu dia (Tze Yong) ada menunjukkan peningkatan, namun sebenarnya kita tahu belum cukup. Masih ada kekurangan dan ia perlu diperbaiki.

"Proses latihan Tze Yong memang saya yang kendalikan. Sebelum ini Choong Hann tidak terlibat sangat, cuma mengenai laporan prestasi memang beliau tahu mengenainya," katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara, pagi tadi.

Sebelum ini, arena badminton negara dikejutkan dengan keputusan Choong Hann untuk meninggalkan badan induk itu selepas memulakan khidmatnya bersama ABM sejak 2018.

Sementara itu, Hendrawan menganggap sudah tiba masanya untuk Tze Yong mula mencipta sesuatu dalam setiap kejohanan disertai kerana tidak mahu penyertaannya hanya dilihat sekadar memenuhi kuota.

"Sekarang dia berada di kedudukan 20 lebih, jadi tidak boleh lagi hanya sekadar menyertai kejohanan. Dia perlu ada keputusan sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir atau dapatkan gelaran.

"Berhubung layak ataupun tidak (ke Olimpik), dia perlu berada dalam kelompok 16 teratas dunia. Kita masih berada di awal saingan (kelayakan), jadi masih ada masa untuk cuba masuk dalam kelompok 16 itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 3:36 PM