TZE Yong tersingkir di suku akhir Terbuka Thailand. FOTO Badminton Photo
TZE Yong tersingkir di suku akhir Terbuka Thailand. FOTO Badminton Photo
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Hilang fokus menjadi punca pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tersingkir di suku akhir Terbuka Thailand semalam.

Pada aksi yang berlangsung Stadium Tertutup Huamark, Bangkok Tze Yong akur tumpas kepada wakil Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 19-21, 21-23, meskipun kerap kali mendahului lawannya.

"Bagi saya perlawanan hari ini (semalam) saya ingat okay cuma ada sekali itu waktu mendahului saya tidak cukup fokus.

"Mungkin selepas ini saya akan cuba lebih fokus dalam setiap perlawanan yang disertai pada kejohanan yang seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain negara, Leong Jun Hao yang turut tersingkir di pusingan suku akhir mengakui dia kecewa dengan aksi yang ditampilkannya pada perlawanan itu.

Bekas juara remaja Asia itu mengakui gagal memanfaatkan beberapa peluang yang dimiliki terutama pada set pertama sekali gus menyebabkan dirinya tewas kepada wakil India, Lakshya Sen.

"Pada set pertama saya dapat peluang namun kehilangan fokus menyebabkan saya kalah. Sebenarnya saya sudah bersedia untuk bermain rali sebab sudah baca corak permainnya, bagaimanapun, dia mengubah gaya permainannya dan saya mula kehilangan mata penting.

"Selepas ini saya akan cuba lihat semula perlawanan saya, dan akan kaji apa yang perlu ditambah baik dalam aksi yang seterusnya di Terbuka Taiwan," katanya.

Terdahulu, Jun Hao yang berjaya melepasi pusingan kelayakan untuk beraksi di undian utama di Terbuka Thailand terpaksa akur dengan kekalahan 17-21, 15-21 kepada Lakshya dalam aksi yang berlangsung selama 41 minit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 11:53 AM