TZE Yong berjaya mara ke suku akhir Terbuka Thailand. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
TZE Yong berjaya mara ke suku akhir Terbuka Thailand. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencipta kejutan di kejohanan Terbuka Thailand 2023 apabila menyingkirkan pilihan pertama dari Taiwan, Chou Tien-Chen.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamak, pemain yang berada di ranking ke-24 dunia itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum memenangi aksi itu straight set 23-21, 23-21 dalam perlawanan yang berlangsung hampir satu jam.

Untuk rekod ini merupakan kemenangan pertama buat Tze Yong selepas tewas dalam dua pertemuan sebelum ini.

"Saya rasa hari ini saya main bagus ada sedikit luck sikit. Saya rasa hari ini strategi tak banyak sangat, saya cuma berani untuk lawan dan yakin.

"Saya akan fokus untuk perlawanan esok dan akan berbincang semula dengan jurulatih bila turun berlawan esok," katanya.

Menanti Tze Yong di suku akhir esok adalah pemenang dalam satu lagi aksi pusingan kedua membabitkan pemain pilihan kelapan kejohanan dari Hong Kong, Lee Cheuk Yiu .

Turut lolos ke pusingan kedua esok ialah satu lagi pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang mara selepas menewaskan wakil Perancis, Christo Popov.

Bekas juara remaja Asia itu bagaimanapun dipaksa bermandi peluh sebelum meraih kemenangan dalam aksi rubber set, 20-22, 21-13, 21-19 dalam aksi yang memakan masa satu jam 16 minit.

Cabaran besar, menanti Jun Hao pada suku akhir apabila dijadual bertemu sama ada pemain China, Li Shifeng atau Lakshya Sen dari India yang turun dalam satu lagi aksi pusingan kedua pada Khamis.

Dalam pada itu, hasrat pemain beregu campuran profesional negara, Chang Peng Soon-Cheah untuk mara ke suku akhir tidak kesampaian apabila tunduk kepada pilihan kelima dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun straight set 13-21, 17-21 dalam aksi yang memakan masa 45 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 4:54 PM