TZE Yong tunduk kepada Cheuk Yiu. FOTO Ihsan Badminton Photo
TZE Yong tunduk kepada Cheuk Yiu. FOTO Ihsan Badminton Photo
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perjalanan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), terhenti pada pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, hari ini.

Pemain ranking ke-25 dunia itu ditunjukkan jalan keluar apabila tewas 17-21, 18-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama 42 minit di Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr.

Ini kali pertama Tze Yong tewas kepada pemain ranking ke-20 dunia itu, selepas menewaskan Cheuk Yiu di Terbuka Singapura pada Julai lepas.

Cheuk Yiu dijadual bertemu pemain ke-10 dunia, Shi Yu Qi dari China pada pusingan kedua esok, yang mendapat laluan mudah di pusingan pertama apabila pemain pilihan pertama kejohanan dari Indonesia, Jonatan Christie menarik diri daripada meneruskan saingan.

Pemain perseorangan wanita profesional negara, S Kisona juga mengalami nasib yang sama dengan Tze Yong apabila hanya mampu beraksi di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong, 21-18, 15-21, 13-21.

Pornpawee yang berada di kedudukan ke-10 dunia akan bertemu pasangan pilihan keenam kejohanan Wang Zhi Yi dari China pada pusingan kedua esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 8:01 PM