ZII Jia lepasi pusingan pertama. FOTO Badminton Photo
ZII Jia lepasi pusingan pertama. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia tidak berhadapan masalah untuk menempah slot ke pusingan kedua Seluruh England apabila menundukkan wakil Thailand, Sitthikom Thammasin straight set, sebentar tadi.

Aksi yang berlangsung di Arena Utilita, Birmingham itu menyaksikan Zii Jia mempamerkan permainan bertenaga untuk merekodkan kemenangan 21-12, 21-15 dalam tempoh 33 minit.

Walaupun Sitthikom yang berada di ranking ke-33 dunia cuba memberi tentangan sengit, namun pengalaman yang dimiliki Zii Jia berjaya memastikan kemenangan berpihak kepada wakil Malaysia itu.

Kemenangan itu juga adalah permulaan terbaik bagi pemain ranking keempat dunia itu untuk menamatkan kemarau tanpa gelaran pada musim ini.

Mengikut rekod, badi tewas awal terus menghantui Zii Jia apabila mencatatkan rekod kekalahan ketiga berturut-turut dengan terbaharu di Terbuka Jerman dalam tempoh tiga minggu.

Zii Jia sebelum ini kecundang pada pusingan kedua Terbuka Malaysia sebelum ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka India dan Masters Indonesia.

Sementara itu, Zii Jia berkemungkinan akan menentang pemain di ranking ke-15 dunia Jepun, Kenta Nishimito seterusnya untuk tempah slot ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 8:10 PM