TANG JIE-EE WEI akui corak permainan lebih baik di bawah Nova. FOTO NSTP
TANG JIE-EE WEI akui corak permainan lebih baik di bawah Nova. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara Toh Ee Wei mengakui 'air tangan' jurulatih dari Indonesia, Nova Widianto mampu mengubah corak permainan dirinya dan pasangan Chen Tang Jie lebih baik sebelum merekodkan gelaran juara pada saingan Cabaran Antarabangsa Iran di Tehran, semalam.

Tang Jie-Ee Wei merangkul gelaran pertama musim ini selepas menundukkan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing menerusi kemenangan 21-19, 21-15 dalam aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan Persatuan Badminton Iran.

Ee Wei, 22, berkata dia dan Tang Jie yang kini berada di kedudukan ranking ke-54 dunia gembira dengan kehadiran Nova yang memulakan tugasnya awal bulan lalu apabila berjaya mengubah corak permainan mereka menjadi lebih baik.

"Kami gembira di bawah bimbingan Nova, dia datang dan permainan kami berubah menjadi lebih agresif. Kami gembira dengan perkembangan prestasi kami.

"Kami akan terus bekerja keras di bawah bimbingan Nova dan diharapkan kami dapat menghasilkan keputusan yang baik pada kejohanan akan datang," kata Ee Wei yang turut merangkul gelaran juara Cabaran Antarabangsa Bangladesh bersama Tang Jie tahun lalu.

Selain itu, Ee Wei berkata kejuaraan di Iran sedikit sebanyak memberikan tonik tambahan kepada dia dan Tang Jie yang selepas ini akan menggalas cabaran skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari.

"Walaupun ia bukan kejohanan besar, tetapi ia adalah kemenangan yang positif untuk saya dan Tang Jie. Kami harap boleh kekalkan momentum untuk menghadapi kejohanan seterusnya nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 2:44 PM