AKSI Ee Yi (kiri) dan Yew Sin hari ini. FOTO AP
AKSI Ee Yi (kiri) dan Yew Sin hari ini. FOTO AP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Khabar gembira dari Bangkok dihadiahkan oleh dua beregu profesional negara iaitu beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Bangkok, hari ini.

Aksi cemerlang yang disajikan Yew Sin-Ee Yi menyaksikan mereka berjaya menundukkan pilihan pertama kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 10-21, 21-17, 21-19.

Kemenangan itu memberi memberi makna buat Yew Sin- Ee Yi yang sebelum ini tewas dalam empat pertemuan terakhir mereka tahun ini menentang beregu yang Indonesia yang kini menghuni ranking ketiga dunia.

Berdasarkan rekod pertemuan beregu lelaki negara yang berada di ranking kelapan dunia itu, keputusan nyata berpihak kepada Fajar Alfian-Muhammad Rian yang meraih enam kemenangan dari lapan pertemuan dan kali terakhir mereka bertemu adalah pada Oktober lalu di Terbuka Denmark.

"Mereka memang bermain dengan baik tahun ini. Tapi kami tak fikirkan pencapaian mereka sebelum ini.

"Kami juga tak fikir apa keputusan yang kami akan peroleh sama ada menang atau kalah kerana yang penting kami berikan yang terbaik dan akhirnya kami menang," kata Ee Yi.

Yew Sin-Ee Yi menamatkan saingan peringkat kumpulan siri akhir Jelajah Dunia dengan muncul juara kumpulan A manakala Fajar Alfian-Muhammad Rian di tempat kedua.

Sementara itu kecemerlangan beregu profesional negara disajikan Kian Meng-Pei Jing yang mengiringi jejak Yew Sin-Ee Yi ke separuh akhir.

Kian Meng-Pei Jing menewaskan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-17-22-20 untuk muncul naib juara kumpulan B di belakang pasangan Thailand yang juga pilihan kedua kejohanan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Dalam perkembangan yang sama beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M Thinaah melengkapkan saingan kumpulan B dengan kekalahan kepada pasangan China yang juga pilihan kedua kejohanan Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Mereka bagaimanapun tewas dalam pertarungan tiga set 19-21, 22-20, 21-9 dalam pertarungan yang berlangsung selama 59 minit.

Turut melengkapkan jadual perlawanan adalah satu lagi pasangan beregu wanita profesional negara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang tewas kepada beregu Thailand, 10-21, 17-21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 8:20 PM