PEARLY (kanan) dan Thinaah menewaskan gandingan Thailand. FOTO Badminton Photo
PEARLY (kanan) dan Thinaah menewaskan gandingan Thailand. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara Pearly Tan berkata tempoh berehat panjang bukan penghalang untuknya beraksi cemerlang pada pusingan pertama Terbuka Denmark di Odense, di Jyske Bank Arena, malam tadi.

Pearly bersama pasangannya M Thinaah memastikan kemenangan menjadi milik mereka dengan keputusan 21-16, 21-14 menewaskan beregu Thailand, Supissara Paewsampran-Puttita Supajirakul untuk mara ke pusingan kedua.

Walaupun Pearly sebelum ini mengalami kecederaan hamstring sehingga menyaksikannya terpaksa berehat panjang selama tujuh minggu, namun dia tetap mempamerkan aksi terbaik sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kedua kejohanan terbabit.

"Saya sangat gembira dengan prestasi saya dan teruja apabila dapat kembali ke gelanggang secepat ini. Setakat ini, saya berada dalam keadaan baik.

"Saya tidak merasai sebarang kesakitan dan sedang membina semula keyakinan dan momentum saya," katanya.

Bagaimanapun, Pearly-Thinaah berdepan tugas mencabar dalam misi memburu tiket ke suku akhir apabila dijadual bertemu pilihan utama yang juga juara dunia dari China, Chen Qingchen-Jia Yi fan pada aksi pusingan kedua, esok.

Qing Chen-Yi Fan mara selepas menewaskan gandingan dari Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 21-7, 21-17.

Sementara itu, turut melangkah ke pusingan kedua adalah pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia apabila mencatatkan kemenangan 21-15, 21-10 menentang lawannya dari Belanda Mark Caljouw.

Selain itu, pasangan beregu profesional lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin juga tidak berhadapan masalah untuk mara ke peringkat seterusnya selepas menumpaskan pasangan China, Liang Weikeng-Wang Chang 21-18,22-20.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 1:30 PM