BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng (kanan) bersama Lai Pei Jing muncul juara Terbuka Korea, April lalu. FOTO ARKIB NSTP
BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng (kanan) bersama Lai Pei Jing muncul juara Terbuka Korea, April lalu. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kali terakhir pemain negara meraih kejayaan di Masters Malaysia ialah pada 2017 melalui beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan mereka akan memulakan saingan untuk edisi 2022 di Axiata Arena, esok.

Sedikit berbeza kali ini apabila mereka hadir selaku pasangan profesional dan bakal memulakan ujian berdepan pasangan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai di pusingan pertama.

Menurut Kian Meng, selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia kepada lawan sama, mereka berpeluang untuk menebus kembali kekecewaan itu.

"Setakat ini, semuanya berjalan lancar (sudah lupakan kekecewaan minggu lalu), semuanya terkawal. Ia bergantung kepada persembahan kami esok," katanya yang turut beraksi dalam acara beregu lelaki bersama Tan Wee Kiong.

Kian Meng-Pei Jing harus mendapatkan semula rentak seperti ketika muncul juara Terbuka Korea, April lalu dan ketika muncul juara Masters Malaysia 2017, mereka menjinakkan Soon Huat-Shevon di final 21-17, 21-9.

Berdasarkan rekod pertemuan, Kian Meng-Pei Jing hanya menang dua daripada enam pertemuan sebelum ini dengan kali terakhir pada Terbuka Indonesia tahun lalu ketika kedua-dua pasangan bertemu di pusingan pertama.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei tidak sabar untuk memperagakan aksi di hadapan peminat tempatan selepas mereka dikhabarkan terus layak ke undian utama.

Menurut Ee Wei, ini adalah peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan di depan peminat badminton Malaysia yang menunjukkan kehadiran memberangsangkan ketika Terbuka Malaysia minggu lalu.

"Saya rasa kami dinaikkan ke undian utama. Setakat ini gandingan bersama Pan Ron berjalan lancar dan kami hanya perlu lebih berkomunikasi di dalam gelanggang agar permainan kami menjadi sempurna.

"Kami hanya mahu bermain dan fokus setiap perlawanan demi perlawanan. Saya berasa teruja kerana ramai penonton hadir memberi sokongan kepada kami. Ini adalah kali pertama di kejohanan besar saya beraksi di laman sendiri," kata pemain berusia 22 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 5:20 PM