YEW SIN-EE YI terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia. -FOTO Asyraf Hamzah
YEW SIN-EE YI terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia. -FOTO Asyraf Hamzah
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tidak mahu melihat 'bantuan pengadil' kepada lawan sebagai punca mereka terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung semalam di Arena Axiata menyaksikan pasangan di ranking 10 dunia kempunan untuk melangkah ke separuh akhir selepas tumbang 13-21, 9-21 kepada beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Yew Sin, 27, berkata, taktikal yang dipamerkan serba tidak menjadi menyebabkan dia tunduk kepada pasangan nombor tujuh dunia itu.

"Pengadil ada bagi mata dekat pihak lawan. Dia cakap bola (bulu tangkis) atas lantai tetapi sebenarnya bola belum mati lagi.

"Memang ada rasa sedih tetapi kami tiada pilihan selain menerimanya sahaja. Untuk membuat challenge pun tak berguna kerana ini bukannya in atau out.

"Bukan tak mahu menang atau ambil mata tetapi kami sudah cuba lakukan yang terbaik. Permainan kami tak menjadi, kami terikut cara mereka bermain," katanya.

Mengikut rekod, Yew Sin-Ee Yi memulakan kempen Terbuka Malaysia menewaskan Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri sebelum menumbangkan beregu nombor tiga dunia dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin di pusingan kedua.

Beregu negara yang memenangi tempat ketiga Kejohanan Dunia 2021 itu boleh menebus semula kekecewaan mereka apabila dijadualkan mengambil bahagian pada saingan Malaysia Masters bermula Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 5:10 PM