AKSI  Kian Meng dan Pei Jing ketika menentang beregu Indonesia. FOTO AFP
AKSI Kian Meng dan Pei Jing ketika menentang beregu Indonesia. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Berdasarkan rekod pertemuan, gandingan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menjadi pilihan untuk muncul juara Terbuka Korea esok, namun bukan mudah untuk menumbangkan Ko Sung Hyun-Eom Hye Won di laman sendiri.

Pei Jing mengakui ia satu kelebihan buat lawan dari Korea Selatan itu apabila turun final di Stadium Palma dengan dibantu oleh peminat tempatan.

Bagaimanapun, Pei Jing tetap yakin dia dan Kian Meng tidak bersendirian di dalam gelanggang kerana sehingga ke separuh akhir pagi hari ini mereka sentiasa mendapat sokongan padu rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan.

"Beraksi di gelanggang sendiri memang ada kelebihan tapi di sini tetap ada penyokong Malaysia juga," kata Pei Jing selepas dia dan Kian Meng berjaya mengalahkan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-13, 22-20 dalam tempoh 46 minit di pentas separuh akhir.

Pasangan beregu campuran profesional negara itu berpeluang menamatkan kemarau gelaran sejak lima tahun lalu selepas kali terakhir meraih gelaran di Master Malaysia 2017.

Di atas kertas, Kian Meng-Pei Jing yang diletakkan pilihan kedua kejohanan tidak dilihat mempunyai masalah besar untuk meraih gelaran pertama mereka musim ini dengan dua rekod pertemuan bersama Sung Hyun-Hye Won memihak kepada mereka.

Kian Meng-Pei Jing pernah menewaskan lawan mereka itu di Terbuka Denmark 2021 dengan keputusan 18-21, 21-18, 21-13 dan di suku akhir Indonesia Masters 2020, 21-7, 21-18.

Bagi Pei Jing, dia sememangnya sudah lama mengimpikan kemenangan selepas setakat ini menyaksikan dirinya dan Kian Meng sudah meraih dua penamat di tempat ketiga dan dua di suku akhir.

"Motivasi kami adalah untuk menang dan inginkan podium," kata Pei Jing yang selepas ini dijadual menyertai Masters Korea di Gwangju, dua hari selepas Terbuka Korea melabuhkan tirainya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 6:31 PM