AKSI Pei Jing (kiri) dan Kian Meng hari ini. FOTO Badminton Photo
AKSI Pei Jing (kiri) dan Kian Meng hari ini. FOTO Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing meneruskan rentak kemenangan apabila menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Korea.

Pilihan kedua kejohanan itu tidak berdepan masalah menjinakkan lawan dari China, Ou Xuan Yi-Huang Ya Qiong yang juga pilihan kelima 21-18, 21-17.

Mereka hanya memerlukan masa 39 minit untuk layak ke separuh akhir dan akan menentang pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari yang sebelum itu menewaskan beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-15, 23-21.

Sementara itu perjalanan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong di Terbuka Korea terhenti di suku akhir apabila tewas kepada lawan dari China, Weng Hong Yang.

Tze Yong terpaksa akur gagal menangani kepantasan Hong Yang apabila tumpas 11-21, 12-21 di Suncheon.

Berdasarkan ranking Tze Yong yang kini menghuni ranking ke-45 dunia seharusnya tidak berdepan masalah untuk mengatasi Hong Yang yang berada di ranking ke-156 dunia.

Namun langkahnya dilihat serba tidak kena apabila serangan mudah dipatahkan lawan seterusnya tunduk dalam perlawanan yang berlangsung 39 minit itu.

Turut gagal mara ke separuh akhir adalah beregu campuran negara, Ong Yew-Sin Goh Liu Ying yang tewas kepada wakil tuan rumah, Kim Wonho-Jeong Na Eun, 14-21, 23-21, 16-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 5:53 PM