LIU Ying (kiri) bersama Yew Sin ketika menyertai Terbuka Perancis di Paris. Foto Instagram gohliuying
LIU Ying (kiri) bersama Yew Sin ketika menyertai Terbuka Perancis di Paris. Foto Instagram gohliuying
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Teka-teki mengenai siapa gandingan baharu pakar beregu campuran Goh Liu Ying berakhir apabila dia memutuskan untuk berpasangan dengan Ong Yew Sin sekali gus meneruskan kelangsungan kariernya.

Liu Ying, 32, yang berpisah dengan gandingan lamanya Chan Peng Soon awal bulan lalu, dilaporkan sudah mendaftar namanya dengan Yew Sin bagi menyertai Terbuka Jerman di Mulheim (8-13 Mac) dan Seluruh England di Birmingham (16-20 Mac).

Yew Sin-Liu Ying akan memulakan latihan intensif selepas cuti Tahun Baharu Cina yang mana kedua-duanya pulang ke kampung halaman masing-masing di Melaka.

"Ia satu permulaan baharu buat Yew Sin dan saya," kata Liu Ying dipetik dalam satu akhbar berbahasa Inggeris.

Gandingan Liu Ying dengan Peng Soon, yang mencapai kemuncak apabila meraih pingat perak pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016, berakhir pada Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF di Bali, Indonesia hujung tahun lalu.

Sebelum ini, Liu Ying dilihat berlatih dengan Low Juan Shen dan bekas pemain kebangsaan Tan Boon Heong di dewan latihan hingga ada peminat dan warganet yang meramalkan dia akan bergandingan dengan salah seorang pemain itu.

Yew Sin, yang meraih pingat gangsa beregu lelaki pada Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol berpasangan dengan Teo Ee Yi, berusia 27 tahun dan digugurkan daripada skuad kebangsaan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Januari 2020.

"Surprise. Cepatnya korang tag. Dah dapat semua message ye. Mummy sekarang nak makan dulu ya. Bukan sengaja nak "bom" sebelum CNY. Just ngam-ngam timing," tulis Liu Ying dalam perkongsian terbaharu di InstaStory.

Peng Soon kembali ke BAM selepas kedua-duanya berpisah dan kini bergandingan dengan pemain muda Valeree Siow. Mereka sudah beraksi dalam dua kejohanan - Terbuka India di New Delhi dan Antarabangsa Syed Modi di Lucknow bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 9:21 PM